Harga Petrol Dan Diesel Kini Diumum Setiap Hari Rabu

KINI, berkuatkuasa serta merta penetapan harga petrol dan diesel secara mingguan akan dilaksanakan. Ia nya akan diumumkan setiap hari Rabu dan harga tersebut berkuat kuasa selepas 12 tengah malam.

                Harga Petrol Dan Diesel Kini Diumum Setiap Hari Rabu

Pengumuman pertama kali untuk pelaksanaan mekanisme itu ialah pada 29 Mac ini dan harga tersebut berkuat kuasa 30 Mac. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan demikian menerusi siaran langsung berkenaan penetapan harga petrol dan diesel secara mingguan di TV1 RTM semalam.

“Bagaimanapun, bagi mana-mana syarikat dan pengusaha stesen minyak yang ingin melakukan promosi dengan memberikan diskaun daripada harga yang telah ditetapkan, boleh berbuat demikian dengan mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada KPDNKK,” kata Hamzah.

“Tindakan tegas akan diambil kepada syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak yang menjual petrol dan diesel pada harga selain daripada harga yang ditetapkan (atau diluluskan) kerajaan,” katanya.

Sebelum ini Malaysia menggunapakai penetapan harga bulanan secara pengapungan terkawal dengan mengguna pakai formula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang telah ditetapkan sejak 1983, manakala penetapan harga secara pengapungan terkawal bulanan pula telah bermula pada Disember 2014.

“Formula APM ini kita gunakan mengikut kadar pasaran minyak dunia. Apabila kita menggunakan pengapungan terkawal secara bulanan ini, kita dapati perubahan atau kadar turun naik harga ini begitu ketara menyebabkan kegelisahan kepada pengguna dan pengusaha stesen minyak,” katanya.

Bagi menambah baik mekanisme berkenaan, KPDNKK telah mengadakan perbincangan dengan syarikat minyak, pengusaha stesen minyak, badan-badan bukan kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan lain. Hasil daripada perbincangan tersebut telah dibentangkan kepada jemaah menteri dan dipersetujui pada 22 Feb lepas untuk pengurusan pengapungan harga terkawal petrol dan diesel dibuat secara mingguan. “Ini bermakna sebarang perubahan harga MOPS (Means of Platts Singapore) dan kadar tukaran asing dapat diterjemahkan lebih tepat mengikut perkiraan pasaran global,” katanya.

Semoga bermanfaat!

No comments

Powered by Blogger.