-->

JAKIM Sahkan Biskut Sembahyang Orang Cina Halal

PASTI anda juga gemarkan biskut ini dan ia pasti mengimbau kenangan ketika sedang membesar. Akan tetapi baru-baru ini telah viral di laman sosial media yang mendakwa ‘biskut sembahyang orang Cina’ yang dikeluarkan oleh syarikat Iced Gem itu tidak halal dan mengandungi lemak haiwan yang haram.

                 

Sehubungan dengan itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan satu kenyataan berkenaan status halal biskut ini melalui laman Facebook Bahagian Hab Halal JAKIM.

Menerusi kenyataan itu JAKIM mengesahkan syarikat menghasilkan biskut ini mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah dan tidak mengandungi bahan-bahan yang terlarang atau lemak haiwan yang tidak halal serta bercanggah dengan syariat Islam.

Unit Hal Ehwal Korporat Bahagian Hab Halal JAKIM telah membuat semakan lanjut unit berkenaan biskut tersebut dan mendapati biskut jenis itu telah didaftarkan dalam sistem mereka.

“Apa yang berlaku adalah kebanyakan pemborong menjualnya kembali dalam bentuk pembungkusan semula seperti timbang, sukat dan paket yang kecil. Malangnya, ada di antara pemborong berkenaan masih belum memohon pensijilan halal JAKIM.

“Perkara ini disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab, sekali gus mengundang keresahan dalam kalangan pengguna,” katanya.

JAKIM turut menasihati para pengguna supaya berhati-hati dalam memilih makanan yang halal dan perlu mengutamakan produk yang mempunyai sijil atau logo Pengesahan Halal Malaysia atau logo Halal Luar Negara yang diiktiraf JAKIM.

“Untuk semakan lanjut berkenaan produk yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan Logo Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM, orang ramai boleh melayari www.halal.gov.my atau di aplikasi telefon pintar myJakim,” katanya.

0 comment... add one now