Caltex Power Diesel Euro 5 Diperkenalkan

              

Caltex hari ini melancarkan bahan bakar diesel Euro 5 baharu mereka yang dikatakan ultra premium dan lebih bersih, membolehkan enjin menjadi lebih bertenaga dan lebih efisien untuk setiap isian.

Caltex Power Diesel Euro 5 mengandungi aditif Techron D yang membantu mengurangkan deposit dan mengekalkan kebersihan penyuntik bahan bakar agar enjin mampu mengekalkan prestasi optimum.

“Pengenalan Caltex Power Diesel (Euro 5) dengan Techron D membuktikan komitmen kami untuk menyediakan pelanggan dengan produk berkualiti bersih, selamat dan boleh dipercayai yang bukan sahaja meningkatkan prestasi kenderaan tetapi menghalang kakisan enjin untuk kedua-dua enjin diesel lama dan baru” kata Shahid Ahmed, Pengerusi, Chevron Malaysia.

Menurut Chevron Malaysia Berhad, syarikat yang bertanggung-jawab akan jenama Caltex di Malaysia, Caltex Power Diesel Euro 5 dengan Technron 5 mempunyai kurang daripada 10 ppm (bahagian per juta atau parts per million) sulfur, berbanding dengan 500 PPM bagi diesel Euro 2M biasa.

Ujian-ujian yang dilakukan oleh makmal Chevron membuktikan:

-Aditif yang digunakan 100 peratus membantu membersihkan penyuntik bahan bakar.

-Tiada kehilangan kuasa (zero power loss).

-Melindungi permukaan logam dari hakisan.

-Tidak berbuih (foamless) – mempercepatkan pengisian bahan bakar dan lebih bersih kerana tiada muntahan/tumpahan semasa isian.

Buat peringkat awal, Caltex Power Diesel Euro 5 ini boleh diperolehi dari 20 stesen Caltex di kawasan Lembah Kelang dan Johor Bahru sebelum Januari 2017.

Caltex tidak ada cadangan untuk melengkapkan kesemua 420 stesen bahan bakar mereka dengan Caltex Power Diesel Euro 5.

0 comment... add one now