Inilah 7 Pelumba Malaysia Yang Berjaya Ke Kejuaraan Dunia


Sememangnya rakyat Malaysia mempunyai minat yang mendalam terhadap kelajuan dan perlumbaan motor, khususnya kenderaan berjenis dua roda. Mungkin kerana di sini telah wujudnya komuniti bermotosikal besar serta berlangsungnya acara tahunan Malaysian MotoGP dan pusingan Kejohanan SBK yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.

Apapun, Malaysia dilihat sebagai negara yang sangat sesuai untuk melahirkan para pelumba motosikal, fakta yang telah dapat dibuktikan dengan beberapa pelumba berbakat negara mendapat peluang untuk bersaing di kalangan pelumba terbaik dari arena perlumbaan motosikal.

Berikut merupakan senarai pelumba Malaysia yang telah berjaya menempatkan diri ke siri perlumbaan besar:

1-Shahrol Yuzy

Debut 250cc: 1996
Podium: 0
Tahun-tahun Aktif Di 250cc: 1996-2002
Bersara: 2003

Anak kelahiran Teluk Intan ini merupakan pelumba pertama negara yang bersaing dengan pelumba terbaik dunia dalam tahun 1996. Selepas persembahannya yang memuaskan dalam siri FIM Asia Pacific Road Race, beliau diberi peluang debut dengan tiket wildcard di pelumbaan Malaysian GP. Peluang ini telah memberi laluan untuk beliau muncul di dalam kategori 125cc dan 250cc sebelum Shahrol melengkapkan tiga musim penuh menunggang dengan Petronas Sprinta Yamaha TVK (250cc) pada tahun 2000-2002 yang menyaksikan beliau mengutip mata dalam 15 perlumbaan. Selepas bersara di penghujung 2002, Shahrol memfokuskan usahanya sebagai mentor bagi mendidik bakat-bakat baru di Malaysian Cub Prix outfit Team Petronas Sprinta Racing dan sekarang beliau menerajui Yuzy Racing, pasukan lumba Cub Prix miliknya.

2-Zulfahmi Khairuddin

Debut Moto3: 2009 (wild card 125cc)
Podium: 2
Tahun-tahun Aktif Di Moto3: 2012-2015
Pasukan Lumba Semasa: Orelac Racing Verd Natura (Supersport World Championship)

Zulfahmi merupakan pelumba tempatan pertama yang berjaya menaiki podium di Moto3 dengan menduduki tangga kedua di Sepang dan tangga ketiga di Valencia pada tahun 2012 dengan pasukan AirAsia SIC-Ajo. Secara keseluruhan, pemuda dari Banting ini telah mengambil bahagian dalam dua musim penuh perlumbaan di dalam kategori 125cc dan empat musim di Moto3. Bekas pelumba Red Bull KTM Ajo ini meninggalkan MotoGP pada tahun 2015 untuk mencari peluang baru di Kejohanan Dunia Supersport di mana beliau telah berjaya meraih beberapa keputusan yang cemerlang termasuk menduduki tempat kedua di SBK Malaysian GP pada bulan Mei.

3-Azlan Shah

Debut Moto2: 2013
Podium: 0
Tahun-tahun Aktif Di Moto3: 2013-2015
Pasukan Lumba Semasa: Bike ART Racing Kawasaki (Kejohanan Asia Road Race SS600)

Kini bersaing di Kejohanan Asia Road SS600, Azlan telah menikmati dua musim penuh di Moto2 dengan pasukan Honda Team Asia pada tahun 2014 dan 2015. Seperti pelumba yang lain, laluannya ke Moto2 bermula dengan tiket wildcard, menggantikan pelumba daripada Jepun Yuki Takahashi di San Marino GP pada tahun 2013. beliau telah berlumba di dalam enam perlumbaan pada tahun tersebut dan walaupun tidak memperolehi sebarang mata, persembahan Azlan telah telah cukup untuk membuka ruang buat beliau berlumba dalam satu musim penuh bersama pasukan Honda Team Asia. Beliau telah menamatkan musim debut tanpa sebarang kutipan mata tetapi prestasi Azlan meningkat pada tahun 2015 apabila meraih mata di lima perlumbaan termasuk kedudukan keempat keseluruhan di Motegi.

4-Hafiq Azmi

Debut Moto3: 2013
Podium: 0
Tahun-tahun Aktif Di Moto3: 2013-2014
Bersara: 2015

Pelumba berusia 19-tahun ini menimba pengalaman berlumba dengan Motor Mini sebelum layak berlumba di Aprilia Junior GP pada 2009 dan Malaysian Cubprix di tahun 2010. Gaya tunggangan kompetitif beliau telah melayakkan pemuda ini mendapat tempat di Red Bull MotoGP Rookies Cup, yang telah membantu membuka laluan untuk debut di Moto3 pada tahun 2013. Berlumba empat perlumbaan pada tahun itu dengan tiket wildcard untuk touchline-SIC-Ajo dan La Fonte Tascaracing di Malaysia, Australia, Japan dan Valencia, Hafiq akhirnya dipilih oleh pasukan Moto3, SIC-Ajo untuk beraksi pertama kali dan satu-satunya musim penuh bagi beliau pada tahun 2014.

5-Hafizh Syahrin

Debut Moto2: 2011
Podium: 1
Tahun-tahun Aktif Di Moto3: 2011 hingga sekarang
Pasukan Lumba Semasa: Petronas Raceline Malaysia

Dikenali di arena tempatan sebagai 'Raja Motosikal Poket' selepas menonjolkan bakat di dalam kategori tersebut, Hafizh bergerak maju di dalam sirkit tempatan apabila beliau bersaing di Cub Prix dan Kejohanan Petronas Asia Road Racing. Kemasukan dengan tiket wildcard pada 2012 di Malaysian GP menyaksikan beliau merangkul tempat ketiga keseluruhan, yang telah mengorak laluan untuk Hafizh mendapat tempat sepenuh masa bersama pasukan Petronas Raceline Malaysia pada tahun berikutnya. Hafizh telah mencatat kemajuan di dalam perlumbaan setakat ini dengan mengutip mata secara konsisten, dan tahun 2016 menyaksikan persembahan terbaik beliau dengan memenangi tempat keempat di Qatar dan Barcelona.

6-Adam Norrodin

Debut Moto3: 2016
Podium: 0
Tahun-tahun Aktif Di Moto3: 2016 hingga sekarang
Pasukan Lumba Semasa: Drive M7 SIC Racing Team

Remaja kelahiran negeri Johor ini telah menggunakan peluang debut 2016 dengan cukup baik bersama Pasukan Drive M7 SIC Racing, mengutip 5 mata daripada sembilan perlumbaan pada tahun ini. Selain daripada persembahan musim pertama beliau yang memberangsangkan ini, Adam juga mempunyai banyak pengalaman berlumba di beberapa kategori perlumbaan antarabangsa termasuk FIM CEV Moto3 Championship, Asia Talent Cup, FIM CEV Moto3 Junior World Championship dan Asia Talent Cup pada 2014 dan 2015 berturut-turut.

7-Khairul Idham Pawi

Debut Moto3: 2015
Podium: 2
Tahun-tahun Aktif Di Moto3: 2015 hingga sekarang
Pasukan Lumba Semasa: Honda Team Asia

Walaupun baru dalam musim pertama, pelumba kelahiran Perak ini telah dinobatkan sebagai pelumba negara paling berjaya. Selepas mendapat tiket wildcard ke Aragon GP pada tahun 2015, pasukan Honda Team Asia telah menandatangani pelumba Malaysia ini untuk musim penuh 2016. Keputusan tersebut ternyata tepat kerana setakat ini Khairul telah mencatat dua kemenangan di Argentina dan Jerman dalam keadaan trek basah. Terbukti seorang pakar hujan, Khairul kini berada di tangga ke 10 di dalam senarai kedudukan Moto3, sesuatu yang cukup mengagumkan.

Tahniah kepada pelumba berbakat Malaysia yang berjaya menempatkan di kejuaraan dunia!

No comments

Powered by Blogger.