FAM Tidak Kenakan Tiket Perlawanan Persahabatan Harimau Malaysia Lawan Papua


Bagi menghargai sokongan penyokong, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan tiada tiket akan dikenakan kepada mereka yang hadir menyaksikan perlawanan persahabatan antarabangsa "A" antara Malaysia menentang Papua New Guinea di Stadium Shah Alam, Isnin ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, keputusan berkenaan dibuat sebagai menghargai penyokong setia skuad Harimau Malaysia yang tetap hadir ke stadium sepanjang 2016, biarpun dikenakan bayaran tiket sebelum ini.

"Mengikut ketetapan, tiket bagi perlawanan persahabatan antarabangsa" A "membabitkan skuad kebangsaan adalah berharga RM30 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.

"Tapi sebagai penghargaan kepada para penyokong untuk tahun 2016 dan pada masa sama perlawanan menentang Papua New Guinea ini adalah perlawanan terakhir skuad Harimau Malaysia sebelum beraksi pada Piala Suzuki AFF 2016.

"FAM telah bersetuju untuk para penyokong masuk percuma ke perlawanan pada Isnin ini," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Perlawanan menentang Papua New Guinea merupakan perlawanan kelima di laman sendiri buat skuad Harimau Malaysia tahun 2016.

Sebelum ini skuad negara bertemu Macau dalam aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 28 Mac, dua aksi Play-off Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Timor-Leste di Larkin pada 2 dan 6 Jun serta aksi persahabatan bertemu Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober lalu.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berharap penyokong menggunakan peluang dengan sebaik-baiknya untuk membanjiri stadium memandangkan ia aksi terakhir skuad Harimau Malaysia sebelum berlepas ke Yangon, Myanmar pada 16 November ini bagi memulakan kempen Piala Suzuki AFF 2016.

"Sudah tentu sebagai jurulatih, saya mahu melihat stadium kita dibanjiri para penyokong setiap kali kita beraksi di gelanggang sendiri kerana ia secara tidak langsung akan memberi semangat tambahan kepada para pemain bagi mereka memperagakan aksi terbaik pada perlawanan berkenaan.

"Lagipun ini merupakan pentas terakhir sebelum saya menamakan senarai akhir 23 pemain ke Piala Suzuki AFF 2016. Jadi harap dengan kemasukan percuma ini, lebih ramai penyokong akan dapat sama-sama hadir ke Stadium Shah Alam, Isnin ini bagi memberikan sokongan," kata Kim Swee .

Sepak mula perlawanan menentang Papua New Guinea ini ditetapkan pada jam 3.00 petang bagi membolehkan skuad Harimau Malaysia menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca panas memandangkan dua perlawanan awal Kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2016 bertemu Kemboja (20 November) dan Vietnam (23 November) di Yangon akan berlangsung jam 3.00 petang.

No comments

Powered by Blogger.